Tuesday, December 30, 2008

Epalku...??

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal 
yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki 
begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal 
ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, 
memetik serta memakan epal sepuas-puas 
hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di 
perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut 
begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok 
epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan 
menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi 
menghabiskan masanya setiap hari bermain di 
sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu 
hari dia datang kepada pokok epal tersebut 
dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-
mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku 
bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar 
bermain dengan engkau," jawab budak remaja 
itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang 
untuk membelinya," tambah budak remaja itu 
dengan nada yang sedih. Lalu pokok epal itu 
berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada 
padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. 
Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang 
kau inginkan." Budak remaja itu dengan 
gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan 
pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. 
Pokok epal itu merasa sedih. Masa berlalu.... 
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin 
dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah 
bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal 
itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa 
bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin 
membina rumah sebagai tempat perlindungan 
untuk keluargaku. 
Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak 
itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. 
Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang 
besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." 
Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak 
yang semakin dewasa itu memotong kesemua 
dahan pokok epal itu dan pergi dengan 
gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira 
tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak 
itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang 
menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah 
budak lelaki yang pernah bermain-main dengan 
pokok epal itu. Dia telah matang dan 
dewasa. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," 
ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku 
bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di 
sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai 
cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak 
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" 
tanya lelaki itu. "Aku tidak mempunyai bot untuk 
diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong 
batang pokok ini untuk dijadikan bot. 
Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang 
pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira 
dan menebang batang pokok epal itu. Dia 
kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya 
dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki 
yang semakin dimamah usia, datang menuju 
pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang 
pernah bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan 
aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan 
kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk 
kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku 
untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul 
dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal 
itu dengan nada pilu. "Aku tidak mahu epalmu 
kerana aku sudah tiada bergigi untuk 
memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana 
aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak 
mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk 
belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," 
jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di 
perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu 
duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. 
Mereka berdua menangis kegembiraan.

CERITA INI SENGAJA DIPAPARKAN UNTUK 
MENGAJAK PARA REMAJA BERFIKIR 
TENTANG 
PENGAJARAN DI SEBALIK CERITA TERSEBUT. 
SEBENARNYA, POKOK EPAL YANG 
DIMAKSUDKAN DI DALAM CERITA ITU ADALAH 
KEDUA-DUA IBU BAPA KITA. BILA KITA MASIH 
MUDA, KITA SUKA BERMAIN DENGAN 
MEREKA. KETIKA KITA MENINGKAT REMAJA, 
KITA PERLUKAN BANTUAN MEREKA UNTUK 
MENERUSKAN HIDUP. KITA TINGGALKAN 
MEREKA, DAN HANYA KEMBALI MEMINTA 
PERTOLONGAN APABILA KITA DI DALAM 
KESUSAHAN. NAMUN BEGITU, MEREKA 
TETAP MENOLONG KITA DAN MELAKUKAN 
APA SAHAJA ASALKAN KITA BAHAGIA DAN 
GEMBIRA DALAM HIDUP. ANDA MUNGKIN 
TERFIKIR BAHAWA BUDAK LELAKI ITU 
BERSIKAP KEJAM TERHADAP POKOK EPAL 
ITU, TETAPI FIKIRKANLAH, ITU HAKIKATNYA 
BAGAIMANA KEBANYAKAN ANAK-ANAK MASA 
KINI MELAYAN IBU BAPA MEREKA. 
HARGAILAH JASA IBU BAPA KEPADA KITA. 
JANGAN HANYA KITA MENGHARGAI MEREKA 
SEMASA MENYAMBUT HARI IBU DAN HARI 
BAPA SETIAP TAHUN.

" Jika ilmu dan amal tidak membuahkan akhlak 
yang mulia, maka ilmu dan amal itu tiada nilainya 
di sisi Allah swt dan manusia"

Bunga dan rerama

Seorang lelaki berdoa kepada Allah agar

diberikan

bunga

....dan rama-rama.

Namun Allah memberikannya kaktus

....dan ulat

Lelaki ini sedih, tidak faham mengapa pemberian-Nya berbeza daripada permintaannya

Kemudian dia berfikir: Allah mempunyai terlalu ramai umat untuk diuruskan

Dan dia memutuskan untuk tidak mempersoalkannya.

Selepas satu tempuh, lelaki ini memikirkan semula permohonan doanya yang telah lama dilupakannya

Lelaki ini amat terperanjat apabila melihat dari pokok kaktus yang hodoh dan berduri itu tumbuh pula bunga yang cantik

Dan daripada ulat yang terselindung, telah bertukar menjadi rama-rama yang cantik

Allah sentiasa melakukan semua perkara dengan betul!

Cara Allah sentiasanya cara terbaik,

Walaupun kelihatan semuanya salah.

Jika anda memohon sesuatu dan menerima yang lain

dari Allah, PERCAYALAH

Pastinya Allah sentiasa mengurniakan apa yang dipinta pada masa yang sesuai.

Apa yang anda pinta...

....tidak semestinya apa yang diperlukan!

Allah tidak akan gagal memenuhi permintaan,

teruskan berdoa tanpa ragu dan mengeluh.

DURI hari ini...

Adalah BUNGA hari esok!

ALLAH MENGURNIAKAN PILIHAN TERBAIK KEPADA MEREKA YANG MENYERAHKAN KETENTUAN KEPADA-NYA

Monday, December 29, 2008

HADIAH UNTUK KAKAK


“Makkkk,abahhh….”laung Anita riang ria ketawa.

”Ye...ada apa sayang?” soal Puan Maria, ibu kepada dua anak kembarnya itu.

“Mak, tengok result along...along dapat 10A1 mak, abah.” terang Anita.

“Iye…alhamdulillah tahniah along, mak dengan abah bangga dengan along,” balas En. Ramli, ayah kepada Anita dan Anisah.

 

Kelihatan Anisah, kembar kepada Anita baru melangkah masuk ke dalam rumah mereka. Pandangan mak, abah dan saudara kembarnya itu ditatap sepi sebelum berlalu ke dalam bilik tidurnya. Wajah kedua orang tuanya mengerut tanda tanya.Lantas, langkah si ibu diatur menuju ke kamar beradu puteri bongsunya itu meninggalkan si anak dan si bapa yang masih di selubungi aura kegembiraan dek kejayaan si anak.

 

Di bilik, Anisah menangis semahu-mahunya. Pintu yang diketuk berulang kali di biarkan tanpa mempedulikannya.

 

”Sayang...bukak pintu ni,mak niii....” jerit Maria mengharapkan tindak balas dari anaknya itu. Setelah berkali-kali, akhirnya pintu itu dibuka perlahan-lahan. Terkejut Puan Maria melihat mata anaknya merah dibasahi takungan air jernih. 

 

”Sayang, kenapa ni? Kenapa anak mak menangis ni?” soal Puan Maria.

Tidak semena-mena, anaknya itu memeluk ibunya bagai anak yang telah lama terpisah dari si ibu.

”Makkk...Nisah tak dapat keputusan macam along, Nisah mintak maaf sebab Nisah tak pandai macam along.  Nisah mintak maaf mak sebab dah kecewakan mak dengan abah,” jelas Nisah dalam tangisan yang belum reda. Puan Maria hanya sekadar mengukir senyuman paling manis buat anaknya.

”Nisah, nisah tak kecewakan mak dengan abah pun....Nisah dah cuba yan terbaik bukan? Jadi kenapa kami nak kecewa dengan apa jua keputusan Nisah tu.” pujuk si emak.

”Nisah cuma dapat 5A1 je mak, kalau abah tahu tentu abah kecewa dengan keputusan Nisah, sebab abah mengharapkan lebih daripada ni mak....” balas Anisah pula.

”Nisah…walau berapa pun yang Nisah dapat walaupun tak sebaik keputusan along tapi kamu berdua tetap anak abah dan kenyataan itu tidak akan mampu berubah,”kedengaran suara En.Ramli di pintu kamar.

 

Tanpa melengah, Anisah terus memeluk erat abahnya itu. Pandangannya jatuh menatap tubuh saudara kembarnya yang dari jauh memerhatikan gelagat keduanya dengan perasaan benci. Lalu, Anita berlalu meninggalkan keluarganya dengan perasaan geram bercampur baur.

 

*************************************************************************************************************************

”Ish, geram betul aku dengan si Nisah ni, dah la begok(bodoh) tapi mak dengan abah tetap sayangkan si bodoh tu lebih dari aku.” rungut Anita dibiliknya.

”Kenapa mak dengan abah sayang sangat dekat budak Nisah tu, nak kata pandai tak, cantikkkk....emm, rasanya aku lagi cantik,eeeee...geramnya akuuuuu....jaga la kau Nisah, siap kau aku kerjakan nanti. Kau tunggu la...” bentak hati kecil Anita.

Dipeluknya bantal busuk sampai akhirnya Anita terlena bersama dendam kesumat yang terbuku dihati.

 

**************************************************************************************************************************

”Kak...kak Nita, bangun kak...jom kita makan, mak dengan abah dah tunggu tu...” jerit Anisah memanggil kakaknya untuk makan malam. Namun masih tiada sahutan dari dalam menyebabkan Anisah memutuskan untuk berlalu sahaja, mungkin kakak kembarnya sedang tidur.

”Nisah, mana kak Nita?” soal abah.

”Entahla abah, Nisah dah panggil banyak kali tapi akak tak jawab pun...tidur kot,” jawab Anisah.

”Tak pela bang, nanti saya kejutkan dia, abang dengan Nisah makan dulu.Nanti saya makan dengan Nita. Abang bukan tak tahu si Nita tu, kalau makan sorang tak lalu pulak katanya.” celah emak pula. Sementara suami dan puteri bongsunya leka menjamah makanan, Puan Maria menuju ke bilik tidur Anita. Pasangan ini hanya mempunyai pasangan kembar Anita dan Anisah sebagai penyeri hidupnya, selepas 8 tahun mendirikan rumahtangga.

 

”Nita....sayang,bangun nak...mak niii...Nita...”panggil puan Maria.Namun masih tiada sahutan balas dari dalam kamar anaknya itu. Tanpa berfikir panjang, si ibu mencapai kunci pendua yang tersimpan kemas dalam laci berhampiran bilik tidur anaknya dan menerpa masuk.

”Nita...nita bangun nak,dah la tu tidur, bangun makan, dari tadi lagi tak makan apa-apa.” ujar Puan Maria sambil mengusap lembut rambut halus milik Anita. Namun hasilnya mengecewakan kerana Nita masih belum juga sedar, dan keadaan ini membimbangkan Puan Maria.

 

”Abang!!!abang cepat datang sini, tengok Nita!!!! abang!!!” teriak Puan Maria sekuat hati. Si suami yang mendengar segera meninggalkan ruang dapur dengan tergesa-gesa. Langkah si ayah dituruti Anisah yang turut khuatir dengan keadaan kakaknya.

”Kenapa dengan Anita, Mar?” soal En.Ramli sebaik tiba diruangan bilik tidur anaknya.

”Entahla bang, dari tadi tak sedar dah banyak kali saya kejutkan dia, tapi tak bangun jugak. Bang, kita bawak ke hospital cepat bang.” ujar Puan Maria pula.

”Baiklah, jom...Nisah, cepat ambikkan kunci kereta abah, kita hantar kakak ke hospital.” ujar En.Ramli bernada cemas, risau juga dengan keadaan puteri itu.

 

**************************************************************************************************************************

”Dr, macam mana dengan anak saya doktor?” soal En.Ramli sebaik sahaja melihat kelibat Dr. Faiz keluar dari bilik kecemasan.

”Encik,Puan, saya nak jumpa di bilik saya boleh? ada hal yang perlu saya bicarakan tentang anak encik.” kata Dr.Faiz pula.

”Baiklah doktor” balas En.Ramli ringkas. Sementara Puan Maria dan En. Ramli menemui Dr.Faiz, Anisah setia menemai saudara kembarnya di wad. Wajah kakaknya ditatap sedalam-dalamnya. Wajah bujur sirih milik Anita kelihatan pucat sekali dengan wayar yang dimasukkan dalam hidung. Kesian melihat kakaknya, walaupun hakikatnya Anita tidak pernah melayan Anisah dengan baik malah ada sahaja masalah yang cuba ditimbulkan kakaknya itu. Pernah sekali kakaknya menuangkan minyak berhampiran tangga menyebabkan Anisah jatuh tersungkur ditangga sehingga kakinya terseliuh. Namun bagi Anisah, kakaknya tetap kakak yang terbaik dalam dunia dan apa yang diharapkan kakaknya akan berubah suatu saat nanti.

Keadaan Anita yang tidak sedarkan diri berlarutan selama tiga hari dan selama itulah Anisah tetap setia menunggu dan menjaga kakaknya terutama sewaktu Puan Maria dan En.Ramli keluar mengajar.

 

**************************************************************************************************************************

 

”Assalamualaikum kak Nita, akak sihat pagi ni?” tegur Anisah sebaik melangkah ke kamar Anita.

Namun seperti jangkaan Anisah, Anita hanya diam membatukan diri di katil sambil membaca komik Ujang.

”Kak, Nisah ada masakkan bubur ayam untuk akak, akak makan sikit ye, Nisah masak khas untuk akak.” ujar Nisah. Sesudu bubur disuakan ke mulut kakaknya tetapi hayunan tangan Anita menyebabkan sudu terpelanting ke lantai. Malah, tanpa diduga, Anita bertindak menjatuhkan mangkuk yang berisi bubur menyebabkan lantai dibasahi bubur. Mata Anisah cuba menampung jumlah besar air yang lambat laun bakalan menitis jua, namun dia bertekad untuk tidak menangis di hadapan kakaknya. 

”Hei Nisah! Kau dengar sini baik-baik, aku benci kau! Jadi,kau tak payah pura-pura baik dengan aku, aku meluat dengan perangai kau yang mengada-ngada tau tak! Aku hairanlah kenapa mak dengan abah sayangkan kau lebih sangat padahal kau dah banyak hampakan harapan mereka.”Anita melepaskan bara api yang terkumpul didadanya selama ini.

”Dahlah Nisah, aku tak nak tengok muka kau lagi kat dalam bilik aku ni, makin lama kau ada kat sini, bertambah nazak aku dibuatnya kau tahu tak?!!! tambah Anita lagi. Tanpa melengahkan masa Anisah berlari ke biliknya bersama deraian air mata yang tidak mampu untuk dibendung lagi.

 

”Abang, macam mana kita nak buat dengan anak kita Anita tu?” soal Puan Maria tiba-tiba. Pertanyaan Puan Maria menarik perhatian En.Ramli yang sedang leka memeriksa buku latihan pelajarnya.

Kedengaran En.Ramli mengeluh perlahan.

”Entahla Mar, abang pun buntu sekarang ni, kita berdua tak dapat nak dermakan buah pinggang pada Anita. Kalau kita nak tunggu penderma yang sesuai abang takut anak kita tak dapat nak bertahan lagi. Lagipun awak kan tahu buah pinggang anak kita dah rosak teruk, nak jalani hidrolisis pun tak guna dah,” jawab En.Ramli panjang lebar.

Tiba-tiba sepi malam dihiasi dengan tangisan sendu Puan Maria, tidak sanggup rasanya membiarkan anak yang baru menjangkau 17 tahun terus menderita. Perkhabaran yang diberitakan oleh Dr.Faiz benar-benar memeranjatkan. Rupa-rupanya selama ini Anita merahsiakan penyakitnya walau dari sesiapa pun termasuk mak dan abahnya sendiri. Menurut dr.Faiz, Anita disahkan menghidapi sakit buah pinggang sejak 2 tahun yang lalu. Tanpa diduga, perbualan Puan Maria dan En.Ramli didengari oleh Anisah, puteri bongsu mereka.

 

”Kak Nita,tunggu Nisah. Akak nak kemana tu?” soal Anisah selepas terserempak dengan kakaknya di persimpangan jalan di bandar. Langkah Anita dituruti oleh Anisah dari belakang. Tiba-tiba langkah Anita terhenti.

”Hei,berapa kali aku nak bagitau kau, jangan masuk campur dalam urusan aku. Suka hati mak bapak aku la aku nak kemana pun. Kau susah kenapa?” balas Anita dengan nada suara yang agak keras sehingga orang ramai yang lalu lalang berpaling ke arah mereka.

”Kak..Nisah bukan nak masuk campur urusan akak, Cuma Nisah risaukan akak sebab akak masih belum sihat betul lagi. Nanti bila akak dah baik, Nisah tak kan halang akak walau ke mana pun kakak nak pergi.” jawab Nisah pula.

”Kau ni tak faham bahasa betul lah!!!” Anita mula berkasar dengan Anisah. Tanpa sedar Anita telah menolak Anisah ke tengah jalan menyebabkan.....Nisaaaaaaaaaaaaaaahhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!

 

*************************************************************************************************************************

”Maafkan kami En. Ramli, anak encik tidak dapat kami selamatkan. Pesakit kehilangan banyak darah, saya harap encik sekeluarga bersabarlah. Hidup mati kita DIA yang tentukan, jadi banyak-banyakkanlah berdoa.” keterangan daripada doktor yang merawat Anisah benar-benar telah memeranjatkan sehingga Puan Maria terjelepuk ke lantai. Air mata seorang ibu dan ayah sukar untuk dibendung lagi apabila mendapat tahu anak yang dikandung dan ditatang bagai minyak yang penuh kini sudah pergi meninggalkan mereka. Rasanya seperti baru semalam meraikan kelahiran puteri kembar namun hari ini salah seorang puteri mereka telah pergi buat selama-selamanya.

 

”Puan Maria, sewaktu pesakit dibawa kesini, kami menemui surat dan bungkusan ini bersama. Kedua-duanya untuk Cik Anita Binti Ramli.” kata jururawat yang menghampiri Puan Maria sekeluarga. Anita yang mendengar jururawat menyebut namanya menerpa ke arah jururawat tersebut. Surat yang ada ditangan jururawat itu tadi diambil dengan lemah.Anita benar-benar kesal dengan apa yang berlaku, kalau dia tidak menolak Anisah ke tengah jalan, sudah pasti Anisah masih tersenyum di rumah. Anisah merupakan adik yang sangat baik walaupun Anita selalu sahaja menyakitkan hatinya, namun Anisah tetap sabar dengan perangai kakaknya itu.Setelah jururawat berlalu, surat tadi dibuka perlahan-lahan. Di tatapi tulisan cantik milik Anisah, kenal benar Anita dengan tulisan kembarnya itu.

 

Assalamualaikum...

 

Kehadapan kak Nita yang amat Nisah sayangi dan cintai. Terlebih dahulu Nisah memohon ampun dan maaf pada kakak andai tulisan Nisah melukakan hati akak. Mungkin sewaktu akak membaca warkah ini, Nisah sudah pergi meninggalkan kakak, mak dan abah. Kak, Nisah bangga lahir sebagai kembar kakak, walaupun kita tak pernah sehaluan tapi bagi Nisah, akak adalah kakak yang terbaik dalam dunia ni dan tak siapa yang boleh gantikan tempat akak dihati Nisah.

 

Akak ingat lagi tak waktu kita main pondok-pondok dulu, Nisah terjatuh dan dahi Nisah luka, tapi bila kita sama-sama pergi klinik, akak bagi Nisah teddy bear yang paling akak sayang supaya Nisah boleh peluk masa doktor jahit luka Nisah. Akak kata, kalau sakit, Nisah peluk teddy bear kuat-kuat dan jangan nangis sebab kalau nangis lagi sakit...akak ingat tak?

Sampai sekarang Nisah masih simpan teddy bear akak tu, ada dalam almari pakaian Nisah..sekarang sudah sampai masanya teddy bear tu kembali kepada tuannya.Akak ambillah balik.

 

Kak...sebenarnya Nisah dah lama tahu tentang sakit buah pinggang akak, ingat tak waktu akak pengsan disekolah dan dihantar ke hospital, sebenarnya waktu akak masuk ke bilik Dr. Faiz, Nisah terdengar perbualan akak dengan doktor tapi  Nisah tak bagitau mak dengan abah sebab akak yang mintak doktor rahsiakan. Jadi, Nisah tak boleh bagitahu pada mak dengan abah. Nisah bangga sebab dalam keadaan akak yang tengah sakit, akak masih lagi fikirkan perasaan mak dengan abah. Waktu itu Nisah buntu, Nisah tak tahu cara yang bagaimana untuk Nisah bantu ringankan beban akak tapi sekarang Nisah yakin dan pasti masih ada sesuatu yang Nisah boleh lakukan untuk akak. Akak ambillah buah pinggang Nisah kak. Anggaplah ia pemberian terakhir dari adik akak....HADIAH UNTUK KAKAK

 

Akhir sekali, sampaikan salam Nisah pada mak dengan abah. Mak, abah, terima kasih sebab sayangkan Nisah selama ini, ampunkan dosa-dosa Nisah pada mak dengan abah. Kak, jagalah mak dan abah baik-baik. Nisah sayangkan akak untuk selamanya.

 

Sekian,

Anisah Binti Ramli

Warkah berlagu pilu basah dek air mata Anita. Anisah terlalu baik untuk akak...maafkan akak dik sebab terlalu banyak akak menyakiti hatimu. Anita menangis semahunya. Tiba-tiba...

”Nita,Nita dah sedar?” soal Puan Maria setelah melihat puterinya membuka mata.

”Mak, abah, kenapa dengan Nita? Macam mana Nita boleh terbaring di sini?” soal Nita bertubi-tubi.

”Sayang, pembedahan Nita berjaya,Nita dah ada buah pinggang yang baru.Alhamdulillah.” cerita Puan Maria bersama deraian tangis syukur. Sekarang tahulah Anita, sebaik sahaja membaca warkah terakhir dari Anisah, Anita telah pengsan dan keadaannya bertambah parah sehingga memaksa doktor melakukan pemindahan buah pinggang dengan segera. Kedua-dua buah pinggang Anita terpaksa diganti dan pendermanya ialah ANISAH.

”Mak, abah, Nita minta maaf. kalau bukan Nita yang tolak adik ke tengah jalan hari tu mesti Nisah ada sebelah Nita mak, abah.” akui Nita jujur. Deraian air mata membasahi pipinya. Pemergian Anisah benar-benar memberikan tamparan yang besar kepada Anita.

”Sudahlah Nita, apa yang berlaku adalah kehendak Yang Maha Esa. Nita tak bersalah dalam hal ini. Abah dengan mak redha dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan seorang anak tapi kami bangga dengan apa yang arwah lakukan.” terang En. Ramli pula. Puan Maria mengukir senyuman dan mengangguk tanda membenarkan kata-kata suaminya.

”Betul tu mak,abah. Pengorbanan arwah terlalu banyak pada Nita. Terima kasih adikku sayang.” sambung Anita pula.

 

Kini, arwah Anisah telah hampir 12 tahun meninggalkan Anita dan keluarganya.  Anita kini bergelar seorang pakar bedah yang kini berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur.  Sejak kehilangan Anisah, Anita meneruskan tekadnya untuk bergelar seorang doktor. Puan Maria dan En. Ramli pula mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan sejak bersara daripada menjadi seorang guru.

 

”Mama...mama, ini teddy bear siapa?” jerit Puteri Alisya Insyirah. Anita yang leka membaca menuju ke arah suara yang memanggil.

”itu teddy bear mama waktu mama kecil dulu dan yang kecil ni teddy bear yang mak su hadiahkan pada mama sebab mama cemerlang dalam SPM,” cerita Anita.

”Ooo...mak su yang mama selalu ceritakan tu ye,” ujar Puteri Alisya Insyirah bersuara manja. Puteri Alisya Insyirah kini berusia 5 tahun hasil perkongsian hidup Anita bersama suaminya yang dikenali ketika di USM. Suaminya merupakan seorang pakar jantung yang berkhidmat di IJN.

”Puteri mama nak tak teddy bear ni? Hadiah dari mama untuk anak mama yang comel ni.” ujar Anita

”Tapi anak mama kena janji jaga teddy bear ni elok-elok sebab ini satu-satunya tinggalan mak su pada Puteri.” tambah Anita lagi. Jelas terukir senyum gembira dari bibir halus anaknya kerana mendapat teddy bear.

”Hai, anak papa buat apa tu?” tegur Luqman Hakim, suami yang dicintainya. Riang si anak berlari mendapatkan papanya lalu dipeluk dan dicium sepenuh hati. Anita tersenyum girang mensyukuri hadiah dari Ilahi.

Terima Kasih Anisah kerana memberikan kakak peluang mengenal erti menyayangi dan disayangi. Terima kasih di atas hadiah untuk seorang kakak....iaitu mendapat seorang adik seperti Anisah.....


Sekian.


SALAM MAAL HIJRAH 1430H

Alhamdulillah, ALLAH masih memberi peluang untuk kita menghirup O2 yang berlegar2 disekeliling. Hari ini membawa seribu erti bagi umat Islam yang akan memulakan penghijrahan dr -ve kpd +ve, dari khilaf dan maksiat kepada yang lebih baik dan pastinya ke arah mencapai Mardhotillah. Semoga buku baru yang akn dibuka sempena 1430H ini akan di isi dan dipenuhkan dengan tarbiyyah, ukhuwwah yg lebih mantop dgn saudara2 seagama, tazkiyyah dan perjuangan ISLAM...salam perjuangan dan salam hijrah ^_^

'ISLAM IS OUR LIFE'

Buat mujahidah solehah...dengan keCANTIKAN anti, anti lebih elok dari MATAHARI, dengan AKHLAK anti, anti lebih wangi dari HARUMAN, dengan rendah hati anti, anti lebih TINGGI dari REMBULAN.
Dengan keLEMBUTAN anti, anti lebih halus dari rintik HUJAN...
Maka, pertahankanlah keindahan ini...agar anti terus menjadi sayap kiri perjuangan ISLAMI, penegak KALIMAH ALLAH di muka bumi ini...

Friday, December 26, 2008

Cinta Duniawi??

"Siti Syazwani. Happy Birthday! Semoga kamu akan sentiasa dirahmati Nya… All the best in everything you do… Jaga diri & iman baik-baik yea~…

-Amin,
UK-"

Aku mencapai telefon mobilku dan membelek-belek SMS ucapan hari lahir yang diterima minggu lepas. Cukup ringkas. Namun, aku masih tertanya-tanya mengapa Amin hanya mengirimkan SMS sahaja kali ini? Jika tidak, tahun-tahun sebelum ini pasti sudah ada kad besar dan bermuzik akan tiba beberapa hari sebelum hari lahirku. Dah la pakai nombor orang lain, siap tulis nama penuh aku pula tu.Tak pernah pula dia tulis macam ni… Ish, hati mula ragu-ragu. Menyangka
sesuatu yang tak baik sedang berlaku.


Adakah dia sudah ….? Argh, tak mungkinlah! Dia dah kata takkan …

Aku teringat ketika dia pulang bercuti pada musim summer tahun lepas. Namun, sebelum itu aku sudah rasa banyak perubahan berlaku pada dirinya. Dia telah mula banyak memberi nasihat-nasihat baik ketika kami berhubung samada melalui telefon, SMS, email, YM dan juga friendster. Dan ketika itu, aku mendapat cuti seminggu dan telah bercadang untuk turun ke KL dengan
kakak melawat saudara-mara, dan sambil-sambil itu bolehlah juga berjumpa dengan si Amin. Setahun sekali tak salah rasanya. Melepas rindu la sedikit. 'Boring' juga kalau asyik berhubung melalui telefon saja. Lagipun Kuantan-KL sekarang boleh travel dalam 3 jam 1/2 dah. Ulang-alik setiap hari pun boleh.


Di KL, aku telah menghubunginya dan
cuba mengajak untuk berjumpa.
Dia menolak ajakan aku untuk keluar berjalan-jalan daripada pagi sampai ke petang. Dia hanya boleh berjumpa dengan ku seketika sahaja pada petang hari. Walaupun dia beralasan sibuk, tapi aku tahu dia taklah sesibuk mana. Nak tak nak, aku terpaksalah menerima sahaja cadangannya. Asal boleh berjumpa, ia sudah cukup bagi aku. Dan petang itu kami taklah ke mana-mana sangat.
Ronda-ronda sahaja dengan kereta Wira kesukaannya itu. Selepas ber-Asar di Masjid Wilayah, Amin membawa aku ke sebuah restoran dan kami makan 'early dinner' di situ. Kemudian, satu detik yang agak 'mengingatkan' bagi aku adalah sewaktu kami dalam perjalanan menghantar pulang aku ke rumah saudaraku…

Dia ada bertanya "Apa beza kita dengan diaorang kat situ tu ye?" Amin menunjuk-nunjuk ke arah beberapa pasang 'couple' yang sedang lepak berdua-duan di tempat-tempat duduk sepanjang sebuah taman. Aku tergamam sekejap. Huh. Agak menduga, tapi 'simple' saja. "Ala, kita ni baik sket. Tak ada pegang-pegang. Tutup aurat elok. Sampai waktu solat, kita solat. Erm… Islamik sket la pendek cerita!."

"Hmm.." Amin hanya mengangguk-angguk.

"Dalam Islam ada ke macam ni?" Amin menduga lagi.

Erk…
Semakin terkesima aku dibuatnya. Kali ini aku terus diam terpaku. Aku tahu dia lebih banyak tahu selok-belok masalah benda-benda macam ini. Kalau aku jawab lagi, mesti dia 'counter' lagi. Huh. Diam sahaja lah!

"Erh, abaikan je lah. Saja je saya tanya…" Amin
cuba menyedapkan hati.

Tidak lama selepas Amin terbang pulang semula ke
UK untuk menyambung sesi pelajarannya yang baru, dia ada menghantar satu email kepada ku untuk menerangkan kedudukan dan
tujuan dia bertanya akan hal itu. Aku sudah mula faham sedikit-sebanyak yang aku perlu mengawal hubungan yang masih tidak 'rasmi' ini.
Dan sejak daripada itu dia tidak pernah langsung menelefon aku. SMS pula hanya bertanyakan tentang pelajaran sahaja. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Namun, aku bersyukur dan gembira kerana dialah yang membuat aku berubah untuk jadi lebih baik dan lebih faham Islam. Jika dulu pakaian aku agak ketat dan singkat, kini sudah banyak yang labuh dan longgar aku beli. Tudungku pun pernah ditegurnya agar melabuhkan ke bawah dada. Dialah yang memperkenalkan padaku apa itu usrah dan
dakwah. Dia juga ada berpesan - 'Jaga hubungan dengan Allah tu lagi penting. Insya Allah, kemudian Dia akan jaga hubungan kita.'

Jadi, apakah yang akan berlaku selepas ini? Hatiku masih tak tenteram memikirkan SMS ucapan hari lahir itu. Macam-macam sangkaan buruk bermain-main dalam hati yang mula busuk
ini. Aku masih setia menanti kepulangannya.
Dan aku yakin dia juga setia pada aku. Aku tak pernah memikirkan lelaki-lelaki lain selain dia. Dan aku yakin dia juga tak pernah nak menggatal dengan perempuan-perempuan lain. Dia taklah seperti kebanyakan lelaki yang 'playboy' pada masa kini.

Ops! Mungkin agak kasar untuk berkata sedemikian.

'Tuuut. Tuuut...' Nada dering SMS berbunyi.
Nombor Amin yang terpapar.

"Esok free tak? Boleh kita chatting?"

"Boleh... Saya free je." jawab aku ringkas. Erm, mesti dia saja nak buat 'surprise.' Aku dah agak dah, takkanlah dia hantar SMS saja untuk 'wish birthday' aku. Keyakinan aku mula bertambah. Dia masih sayang padaku.

"Ok.Tq..." balasnya pula.

Keesokannya, aku menanti awal dia online.

'Tuk. Tuk. Tuk..' Amin has signed in.

Oh, tepat sungguh waktunya...

Amin: assalamualaikum wbt.

Wani: wsalam…

Amin: apa khabar? sihat? iman baik?

Wani: alhamdulillah. .. sihat2..=) awak?

Amin: alhamdulilah… baik2 juga… iman selalu turun naik sejak kebelakagn ni… tp takpe, ok je semua

Wani: awak tak balik ke tahun ni? btw, thanks for the bday wish last week...

Amin: welcome… tak balik. byk kerja sket tahun ni… lagi pun saya nak try bekerja… cari duit...

Wani: wah, rajinnya... baguslah!

Amin: hurm...

Amin: study macam mana?

Wani: ok je... new sem ni berat sket.. Jadual pack.

Amin: oic...

Amin: takpe, study rajin2 ye..

Amin: hurm, dah lama nak tanya ni sebenarnya…

Amin: hurm…

Wani: apa dia? tanya la… sila2..

Amin: 1st of all sorry dulu ye… hurm, apa pendapat awak tentang kita sekarang?

Wani: erh… macam awak kata dalam email tu dulu yang kita ni
kan 'kawan'… tak lebih daripada tu… tp, special sket… tiada couple-couple mcm org lain… declare pun tak kan?

Wani: so, statusnya kawan je la…

Amin: hurm…

…..

Wani: erh, tak betul ke?

Amin: hurm.. ni opinion je la -antara lelaki dan perempuan yg bukan mahram, tiada perhubungan yang lebih akrab melainkan hubungan suami isteri shj… yg lain2.. atas alasan
aper skali pun ia tak patut diterima..

Aku tergamam seketika. Tertampar keras juga rasanya…

Wani: jadi…

Amin: saya rasa kita harus stop… stop untuk berpisah…

Amin: sbb……

Amin: sbb saya sedar yg semua ini adalah salah dan juga keliru…

Amin: benda ni akan buatkan hati ternodai… zina hati akan banyak berlaku…

Amin: walaupun kita jauh, tak call, tak jumpa dll, tapi hati tetap ber'zina'…

Amin: huh…

Amin: saya bercakap itu dan ini pada org ramai… tapi, dalam masa yang sama saya meyelindungi sesuatu yang tak sepatutnya saya buat…

Amin: kononnya Islamik…

Amin: saya rasa cara ni tak betul… kita sbnrnya yang dah menyarungkan benda yg tak baik ni dgn Islam… then, org nampak Islamik…

Amin: saya rasa takde beza pun kita dgn org lain yg duk ber'couple2' nieh..

Amin: hurm…..

Amin: jadi, saya rasa kita harus berpisah…

Amin: demi menjaga diri…& sama-sama untuk kembali harungi hidup dalam redha Ilahi…

Amin: sorry… sorry byk2 untuk segala apa yang telah kita buat…

Amin: dan sorry juga sbb telah membawa awak ke jalan yang lupa pada-Nya…

Amin: andai ada jodoh, moga dipertemukan…

Astaghfirullahalazi m… Aku beristighfar panjang. Ku kesat peluh di dahi… Air mata jahiliyah ku
deras menitis membahasi meja. Sedikit terpercik pada keyboard laptop. Aku tak sangka perkara seperti ini akan terjadi sepantas ini. Ringkas,lembut, berhikmah serta points-nya yang jelas membuat aku tak dapat membantah dan berkata-kata. Sedih, pilu, kecewa, dan sesekali timbul
rasa kesal pun ada. Tapi, semua itu tak bermakna lagi…

Aku tak mampu lagi untuk menyambung perbualan tersebut.
Ku pasrah dan terima sahaja keputusan yang dibuat oleh Amin itu. Di saat ini, hanya Allah yang bisa mendengar bisikan
hati rapuh ini. Dialah juga tempat ku pohon keampunan atas segala kekeliruan yang telah aku timbulkan. Rupanya selama ini aku telah tertipu dengan bisikan musuh, mengikut jalan taghut, mencampurkan halal dan haram, serta mengandunkan yang Islam dan al-hawa…

Cinta hakiki hanyalah pada Allah…

Tiba-tiba aku teringat hadis halawatul iman yang pernah dibincangkan oleh naqibah aku tak lama
dahulu; pertama-tama sekali mestilah mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada makhlukNya, kemudian mencintai seseorang itu hanya kerana Allah dan akhir sekali, mesti benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan dirinya ke dalam api neraka. Dengan demikian barulah dapat merasai kemanisan iman itu.

Hanya Allah sahajalah yang layak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikhendakiNya. Moga-moga Dia kuatkan dan teguhkan hatiku menghadapi dugaan ini dan moga-moga diiringankan beban yang kupikul ini.

Aku terus menjawab ringkas….

Wani: thanks & sorry too… saya terima… Alhamdulillah…

Wani: moga awak bahagia dan sukses selalu di
sana. doakan saya juga.

Wani: wassalam.

Signed out

Aku merasakan hubungan tiga tahun yang terbina itu memang salah pada dasarnya. Bagaimana mungkin ia dapat mewujudkan sebuah keluarga yang menjunjung Islam jika asasnya terbina
melalui cara al-hawa? Ya, kami memang saling menasihati dan bertazkirah, saling mengejut Qiamulali, saling menghantar SMS ayat-ayat Quran serta hadis, tapi semua itu memang tak betul caranya… Aku sedar yang kami telah mempergunakan Islam untuk mencapai matlamat peribadi…Astaghfirullah. .
Syukur pada Mu ya Allah kerana lekas mengembalikan ku pada jalan redha-Mu.

"Sayang… Cepat turun ni. Nurul dah nak sampai." Ops! Tersedar daripada lamunan kisah 15 tahun lepas itu tatkala mendengar sahutan suamiku, Muhammad Aqil untuk bersiap menyambut tetamu istimewa kami Nurul dan Amin.

"Ya bang, Wani turun…"

Alhamdulillah… Siap semuanya. Aku menutup lid laptopku dan bergegas turun ke bawah.
Aku sudah bersedia untuk membentangkan 'presentation' kepada beliawan-beliawanis negara
mengenai Cinta Remaja dalam program 'Belia Negara 2057' esok. Aku sangat bersyukur menjadi siapa diri aku sekarang ini dan akumengharapkan belia-belia harapan negara dapat kembali kepada cara fitrah yang sebenar dalam menguruskan soal cinta.

Malu

Seorang pemuda yang baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang kaunseling telah membuka kedai pertamanya di pinggir bandar. Beliau telah membuka kedai tersebut selama seminggu tetapi ia masih tidak mendapat sambutan. Memandangkan hari telah menjelang tengahari, pemuda tersebut mula gelisah kerana tiada seorang pun pelanggan datang untuk mendapatkan khidmatnya dalam bidang kaunseling. 

Namun pada hari tersebut, nasib seakan menyebelahi dirinya apabila seorang lelaki datang menghampiri kedainya dengan langkah yang penuh bergaya. 

Dalam hati pemuda tersebut, inilah pelanggan pertama aku dan aku perlu menunjukkan reputasi yang baik padanya. 

Lantas dia mencapai telefon dan bercakap dengan nada yang kuat 

"Hello Dato, takpa saya akan uruskan segala-galanya, Dato jangan bimbang sebab syarikat saya memang terkenal dengan reputasi yang gemilang, lagipun kami tak pernah mengecewakan sesiapapun. Yang penting ialah staff syarikat Dato nanti akan lebih bersemangat dalam menjalankan tugasnya. Ya....Ya....Lagipun fasilitator kami bukannya calang-calang orang, memang hanya yang terbaik sahaja akan kami pilih bekerja di sini."Jelasnya lagi dengan keyakinan yang tinggi. 

"Ok, takpalah Dato jangan bimbang, saya akan bereskannya secepat yang mungkin." Ujarnya pada akhir perbualan 

Lelaki yang berjalan dengan penuh gaya tadi berdiri betul-betul di hadapan pemuda tersebut sambil tersenyum dan dengan penuh hemah, dia menegur 

"Ya, ada apa yang boleh saya bantu Encik?" 

"Saya datang nak pasang talian telefon" Ujarnya lagi dengan senyuman yang penuh bermakna

Sorotan 2008

Assalamualaikum pembuka bicara...lamenya xupdate blog nie, dah bersawang pun..nasib baik xde labah-labah ^_^

Tahun 2008 bakal melabuhkan tirainya manakala 2009 menjenguk dan mengintai disebalik tabir...cepatnya masa berlalu, rasanya seperti baru semalam melangkah ke USM, namun detik ini merupakan detik-detik terakhir hidupku di sini. Ternyata terlalu banyak kenangan pahit, manis menjadi perisa dalam hidupku. Waktu-waktu yang ku habiskan di sekolah sebagai guru praktikaltelah bermula dan akan menghampiri tarikh luputnya...semuanya bakal berakhir namun QALBU ini masih tertanya-tanya, apakah kesudahan hidupku...Adakah hari ini tetap seperti hijrahku yang semalam malah lebih buruk atau aku telah berjaya mencipta milestone tersendiri dalam hidupku???

Pilihan raya ke-12, pindaan AUKU, turun dan naiknya harga minyak, dan kenaikan harga barang yang tidak pernah tahu erti TURUN, segalanya mencengkam hidup segenap masyarakat. Kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU 12 yang berlalu hampir 10bln lalu menjadi loncatan berharga bagi pembangkang dan seterusnya memberikan harapan kepada pembangkang untuk menakluk lebih banyak lagi dalam PRU selepasnya...sulit untuk capai kemanisan itu namun bukan MUSTAHIL. Selagi mana syariat ALLAH masih dipegang dan utuh dalam diri setiap individu, janji ALLAH itu pasti dan barangsiapa yang menolong agama ALLAH, pasti ALLAH akn menolongnya. (47:7)

Pindaan AUKU?? mengapa pelajar hari ini begitu teruja apabila mendengar tentang pindaan AUKU? itulah realiti dunia hari ini, aktiviti berpolitik mahasiswa disekat dengan undang-undang AUKU. Moga-moga hasil kali ini adalah lebih baik setelah 3 pindaan AUKU yang dibuat sebelum ini terus berada dalam bayangan...sekadar pindaan yang tiada penyelesaian. Ayuh pemuda/di rijal dakwah, gunakan peluang ini untuk antum perjuangkan ISLAM! Sebagaimana langkah KARISMA yang ingin mengambil peluang ini untuk meng'halalkan' wadah KARISMA dikampus...mahasiswa adalah aset negara kerana remaja hari ini akan menjadi pentadbir di masa depan. Oleh sebab itu, kader-kader dakwah harus mula dibentuk dan di asah sekiranya Syariat ISLAM ingin ditegakkan dikampus, segalanya bukan MUSTAHIL namun KERJA BESAR memerlukan USAHA yang BESAR.

Para ibu dan ayah semakin runsing dengan kenaikan HARGA yang begitu KEJAM menindas masyarakat yang 'kais pagi makan pagi'. Keperluan harus diadakan untuk anak-anak walaupun dalam situasi yang pahit. Bondaku bilang, "padanlah ramai orang yang botak kat dunia nie skang, masing-masing dok PK pasal DUIT..." Namun, itulah realiti dunia...semakin global semakin ramai yang menderita, isu harga barang yang tidak pernah turun walaupun minyak telah kembali pada harga asal, sentiasa menjadi topik hangat pakcik/makcik, atuk dan tok wan...sabarla tok/tok wan nae...^-^

Dunia oh dunia...

Isu PALESTIN masih belum reda, masih terlalu banyak isu-isu lain yang perlu diteliti. kemenangan Barrack Hussein Obama menggantikan Bush dlm arena politik antarabangsa diharap mampu mencetuskan kelainan namun BOLEHKAH kita terus mengharapkan OBAMA tanpa ada apa-apa perjuangan??? Apa yang bisa kita lakukan??? Adakah ISLAM akn terus ditindas dan dipijak sesuka hati oleh pihak yang Anti-ISlam? Renungkanlah wahai pemuda/di ISLAM...dimana dan apa yang kita perjuangkan?

Itulah 2008, dan bagaimana pula 2009??? 
Sebarkan FIKRAH ISLAM, Ayuh!!!

Sunday, December 14, 2008

Belajar apakah itu erti Redho dan Sabar


Rasanya macam sukar nak menulis kembali. Mungkin banyak peristiwa duka yang berlaku sepanjang Akhir bulan Mei dan Awal bulan Jun dan ini adalah hari-hari yang terlalu sukar untuk saya. Hari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan.Bayangkan sepanjang hari – hari yang saya lalui terlalui sedih untuk dikenang. Ibaratnya dugaan saya selama ini adalah saya sedang membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. Saya jaga istana pasir itu, saya bina ia mengikut kehendak alam, dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. Saya mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai. Fenomena itu sememangnya saya tahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang saya bina musnah jua dipukul ombak besar. Saya ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah saya membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari saya musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa yang saya lalui. 

Ujian itulah kehidupan

Allah ingin menguji saya lagi. Saya demam dan selsema. Bukan sehari dua malah hamper 12 hari dan hari ini baru saya rasa demam saya berkurangan. Ditambah pula dalam tempoh demam itu saya kena buat ujian memandu untuk dapatkan lessen kereta. Aduhai, terasa amat perit hari yang saya lalui itu. (Bukan mengeluh, tapi ekspresi rasa saya). Mungkin jua saya terlampau terkejut. Kata nenek saya ‘sabarlah, Allah baru mencubit sedikit sahaja paha kita, kita telah mengeluh panjang dan bising-bising.’ Kata-kata nenek saya betul. Tapi saya bukan mengeluh bukan tak redho, Cuma saya rasa ingin mengadu sangat-sangat kepada Allah. Kata Abusaif, kehidupan kita ini tidak dapat lari dari ujian-ujian Allah kerana ujian itulah sebenarnya kehidupan kita. Ya saya akui. Redho itu perit, Tapi Imbalannya Manis… Beberapa hari ini saya cuba mencari kekuatan diri saya untuk menerima apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya cuba belajar erti redho. Betul, redho tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redho itu perit, tapi imbalannya manis. Begitulah pesan kakak saya. Hari ini tarbiyyah tak langsung yang berguna untuk saya daripada Allah adalah saya belajar erti redho. Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redho itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antar sabar dan redho, redho itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redho dan sabar. Ia memang berbeza. 

Dulu seorang sahabat saya bertanya, bagaimana mahu menjadi seorang yang redho? Waktu itu saya hanya diam tanpa memberi apa-apa respon kerana sememangnya saya tidak tahu. Hari ini, setelah saya melalui episode yang sukar dalam hidup saya, saya punyai jawapannya. 

Pertama jangan terlalu mengikut perasaan dan sentiasa berfikiran positif, maka dengannya kita akan ikhlas dengan ketentuan Allah. 

Kedua yakinlah bahawa apa yang diambil Allah, lalu kita bersabar, maka tidaklah Allah memberikan ganti melainkan apa yang diberi ganti itu lebih baik daripada apa yang diambil. Di sinilah perlunya sabar. Alhamdulillah hari ini saya belajar. 

Berkata Umar Abdul Aziz ‘Allah tidak memberi kenikmatan kepada seseorang hambaNya dengan suatu kenikmatan kemudian Dia mengambil kenikmatan itu daripadanya. Lalu digantikanNya dengan kesabaran, melainkan apa yang dijadikan ganti itu lebih baik daripada apa yang diambilnya.’ 

Kembalilah kepada Allah


Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji. Saya telah menemui ramai orang yang diuji hamper sama seperti saya. Andai diikutkan nafsu dan emosi, pasti saya tidak ubah seperti orang-orang yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah seperti mengurung diri, merayau-rayau dan sebagainya. Nauzubillah. Alhamdulillah episod duka saya lalui itu dengan penuh terarah. Saya masih ada tempat mengadu kepada Allah sekalipun pada masa yang sama ada mulut-mulut manusia yang tidak lepas daripada membicarakan tentang manusia-manusia lain.

‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian) ‘– (Surah al-Ankabuut ;2) 

Apa yang penting, kita kembalilah kepada Allah. Saya ingin ulangi kata-kata nenek saya, Allah baru sahaja mencvubit kita sedikit jika hendak dibanduingkan dengan nikmat kurniaanNya yang melangit luas. Kita jangan cepat melatah dan merasa cemas dengan ujian yang menimpa. Disinilah kebergantungan kita kepada Allah sangat diperlukan. 

Al-Mutanabbi berkata, ‘Kecemasan hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus dan rambut akan beruban dan menjadi amat tua.’ Jangan membiarkan ujian itu menjadikan kita cepat tua =). 

Kata William Mark Gaugil dalam pidato ilmiahnya di depan Persatuan Doktor Gigi Amerika, ‘Perasaan tidak bahagia seperti takut dan cemas sangat mungkin memberi kesan kepada penyebaran kalisium di dalam tubuh dan selanjutnya akan mengakibatkan kerosakan pada gigi’ 

Patutlah sepanjang saya sedih, saya selalu sakit gigi. Mungkin ini kesan sedih dari sudut kesihatan. Apapun belajarlah untuk redho kerana apabila kita redho, kita sememangnya kembali kepada Allah dan insyaAllah hati kita akan bahagia. 

Wasiat Luqman Alhakim 

‘Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentu engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah’ 

Binalah Istana untuk didiami

Syukur, terlalu banyak pelajaran saya Allah berikan untuk saya daripada ujian ini. 

Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya “Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”

Keduanya, saya tidak mahu membina istana pasir lagi. Saya ingin membina istana untuk saya diami. Kali ini, saya perlu berhati-hati. 

Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia. 

Akhirnya saya belajar erti sabar dan redho. Amin.